Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda yang bermaksud:
“Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil” [Hadith Muslim no. 145]
Beruntunglah manusia yang asing di akhir zaman. Terasing
kerana Islam yang digenggam. Zaman berganti zaman, Islam asing (gharib)
kali kedua, hati-hati jenih fikrahnya menjadi ghuraba’. Golongan ini
sedikit sekali kerana golongan ini sering mendapat tapisan demi tapisan
dari Ilahi sehingga yang tinggal hanyalah orang-orang yang benar-benar
ikhlas denganNya.
Pernahkah anda berasa sunyi dan terasing kerana memilih untuk berpegang dengan Islam?
Ketika
ramai orang di sekeliling kita mula menonjolkan aurat masing-masing,
tudung disingkat-singkatkan, baju semakin nipis, seluar semakin ketat,
kain semakin sendat, fesyen moden semakin dahsyat, tetapi anda masih
mengekalkan cara pemakaian Islam yang sebenar. Anda disinis, ditertawa, diperlekehkan. Pernahkah??
Ketika
ramai kawan-kawan menjerumuskan diri dalam cinta duniawi, ber’couple’
sana sini, huhahuha dengan lelaki, bergelak dan bermesra dengan teman
sehati, menonton wayang bersama pasangan sendiri, bergayut di telefon
sehingga lewat malam tanpa arah tujuan, bermanja-manjaan, tetapi anda
masih berpegang dengan pendirian al-Quran dan as-Sunnah. Anda Pelihara
Mukadimah Zina. Anda dipulau, dikutuk, dijadikan bahan umpatan, digelak
tawa bersama teman. Pernahkah anda lalui semua ni?
Tatkala
orang semakin menerima cara hidup yang membelakangkan agama, mendedahkan
aurat, bergelumang dengan maksiat, sebagai aras tanda mengukur
kemodenan diri, tiba-tiba anda yang membungkus tubuh dengan pakaian yang
menyembunyikan anggota yang bersangkutan dengan harga diri, pernahkah
anda dicemuh kerana memilih untuk tidak berfesyen seperti manusia yang
ramai hari ini?
Saat zina
dan arak berleluasa, rasuah dan riba’ bermaharajalela, pergaulan bebas
semakin melata, tapi anda masih lagi teguh dengan keimanan terhadap
Allah. Anda dicaci, dihina, diherdik. Pernahkah anda punya pengalaman sebegini??
Jika PERNAH, maka berbahagialah!
Jika anda pernah berasa asing, ganjil, pelik, ditertawa, disinis, disindir, atau diperlekeh kerana mempertahankan kehidupan yang berprinsip seperti itu, terimalah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

No comments:
Post a Comment