‘Teman
yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan
Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya
teringat mati.’
‘sebaik-baik
sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan
sebaik-baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.’
(H.R al-Hakim)
Baru-baru
ini saya kehilangan seorang sahabat. Kehilangan buat selamanya. Kehilangannya
sangat dirasai kerana dia antara sahabat saya yang selalu mengingatkan saya
pada Allah, pada perintah Allah, banyak mengajar tentang kebaikan, banyak
memberi nasihat dan sebagainya. Selepas beliau kembali ke rahmatullah, ramai
sahabat bercerita mengenai perkara yang sama. Arwah seorang yang baik,
selalu mengingatkan mereka pada perintah Allah, seorang yang sabar orangnya,
lemah lembut, menghormati keluarga dan ia juga diakui oleh keluarganya sendiri.
Subhanallah!
Untungnya memiliki seorang sahabat sepertinya.. Kehadirannya menyenangkan hati,
kehilangannya terasa di hati.. kebaikan dan nasihat olehnya terpahat di hati..
Ya
Allah, kadangkala saya terfikir, adakah kita sepertinya? Kehadiran
menyenangkan, kehilangan dirasai. adakah satu hari nanti apabila kita pergi,
kita akan dikenang sebegitu rupa? Adakah sahabat di luar sana akan
mendoakan kita? Adakah sahabat kita akan terasa kehilangan kita?
Justeru,
sebagai seorang sahabat, apa salahnya kita berusaha untuk menyenangkan hati
sahabat kita yang lain sementara kita masih berpijak di bumi Allah ni, selagi
hayat dikandung badan. Apa salahnya kita mencuba untuk membahagiakan sahabat
kita?
Wahai
sahabat sekalian, antara ciri-ciri sahabat yang baik adalah:
- Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu.
- Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu.
- Jika engkau memerlukan pertolongan darinya, dia akan membantu kamu.
- Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik.
- Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan daripada kamu..dia akan menghargai kebaikan kamu.
- Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya.
- Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya.
- Jika engkau berdiam diri, dia akan menanyakan kesusahan kamu.
- Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu.
- Jika engkau berkata padanya, nescaya dia akan membenarkan kamu.
- Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu.
- Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga persahabatan.
- Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat.
- Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Sememangnya,
masih belum terlambat untuk kita semua berubah sedikit demi sedikit untuk
menjadi sahabat yang baik. Belum ada istilah ‘lambat’ selagi hayat
dikandung badan. Jadilah seorang sahabat yang baik, yang membahagiakan sahabat
kita, yang tidak menyakitkan hati sahabat kita, dan memberi kebaikan, teguran
dan nasihat kepada sahabat kita.
Janganlah
kita menjadi sahabat yang sombong yang tidak mahu menerima teguran sahabat yang
lain, ingatlah, sahabat tegur ke arah kebaikan, tanda dia sayang, andai
dia berusaha bersungguh-sungguh mahu ke syurga, dia sentiasa mengajak
sahabatnya yang lain untuk ke syurga bersama-samanya.
Cinta
seorang sahabat ketika dia mengajak sahabatnya berbuat baik kepada Allah.
Sayangnya seorang sahabat ketika dia menyedarkan kita apabila kita
terpesong dari landasan Allah. Kasihnya seorang sahabat ketika dia tidak pernah
lupa berdoa untuk sahabat-sahabatnya.
Oleh
itu, ayuhlah teman-temanku, bahagiakan sahabatmu sementara mereka masih ada!
Bawalah mereka ke syurga bersamamu, tiada jodoh untuk bertemu di dunia lagi,
berdoalah agar bertemu di syurga kelak! insyaAllah, Allah melihat setiap
usahamu walaupun sebesar zarah!

No comments:
Post a Comment