“Hanya solat yang khusyuk mampu ‘menyelam’ ke dalam diri –
mengubah rasa hati, gaya fikir, prinsip hidup, emosi dan akhirnya perilaku
seseorang.”
Solat bukan hanya
terletak di fikiran sahaja. Tetapi solat juga terletak pada perasaan.
Jom sama – sama mencari
KHUSYUK di dalam solat.
Pengertian khusyuk :
1. Khusyuk ialah
menghadirkan sepenuh ingatan di dalam solat.
2. Khusyuk ialah tetapkan
hati di dalam solat.
3. Khusyuk ialah tetapkan
seluruh pancaindera di dalam solat.
4. Khusyuk ialah
memperlahankan bacaan (membaca dengan tenang) di dalam solat.
5. Khusyuk ialah jiwa dan
roh kepada solat.
6.Kyusyuk ialah tenang,
tenteram, perlahan, penuh penghayatan, serta ketundukan yang disertai perasaan
takut kepada Allah SWT dan merasai selalu diawasi-Nya semasa solat.
7.Khusyuk ialah akur,
tunduk atau patuh semasa solat.
8.Khusyuk ialah
menghadirkan hati kepada Allah SWT di dalam solat.
9.Khusyuk
ialah tunduknya hati, fikiran, emosi dan seluruh pancaindera semasa solat
(ingat pada Allah SWT).
Tips untuk mendapat khusyuk :
1.Menjaga makan dan
minum. Ini kerana khusyuk itu berkaitan dengan hati. Oleh itu, hati meski
dipelihara kesuciannya. Dan hati juga akan dibawa ketika solat. Jadi, makan dan
minumlah daripada sumber yang halal lagi baik. Jangan solat dalam keadaan lapar
dan haus. Makan dan minumlah dalam kuantiti yang sederhana dan bukan berlebih –
lebihan.
2. Mengambil wudhuk
dengan tenang dan sempurna. Iaitu mengerjakan wudhuk sesuai dengan ketentuan –
ketentuan yang telah digariskan oleh syariat serta hayati.
3.Membersihkan diri
(bersugi). Bersugi dan bersiwak, dalam konteks sekarang bererti menggosok gigi
sebelum mengerjakan solat.
4.Selesaikan dahulu
hadas kecil dan hadas besar sebelum solat.
5.Memakai pakaian yang
menutup aurat, bersih dan kemas, selesa dan wangi. Jika seseorang ingin
mendirikan solat dengan pakaian yang kotor serta tidak selesa, maka ia akan
menjejaskan, serta menyulitkan solatnya.
6.Solat dalam suasana
yang selesa dan bersih. Pastikan tempat solat suci daripada benda – benda atau
perkara – perkara yang dapat menganggu ketika mendirikannya. Cuba dan usaha
menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan mengkhayalkan pemikiran
semasa solat. Jauhi juga menghadap apa – apa gambar atau tulisan yang menarik
perhatian untuk dilihat dan dibaca. Jauhi juga daripada solat di tempat yang
bising dan hingar – bingar.
7.Ilmu. Adalah lebih
baik jika amal itu disertai dengan ilmu.
8.Mengurangkan
pergerakan anggota – anggota seperti tangan, kaki dan tumpukan mata ke tempat
sujud.
9.Panaskan badan sebelum
solat dengan membaca surah – surah atau isti’azah dalam hati ketika terasa
minda tidak fokus kepada solat.
10.Meletakkan sutrah penghadang di
hadapan tempat solat agar tiada orang yang lalu – lalang di hadapan ketika
sedang mendirikan solat.
11.Mendirikan solat pada awal waktu
supaya tidak gopoh ketika masa hampir luput.
12.Mendirikan solat secara berjemaah
(bagi lelaki). Wanita digalakkan solat berjemaah.
13.Azan dan iqamat terlebih dahulu
walaupun mendirikan solat bersendirian ataupun sekurang – kurangnya iqamat
sahaja.
14.Menjaga mata daripada melihat
perkara yang terlarang oleh Islam.
15.Fokus
mata ke tempat sujud, dada ke arah kiblat, hati pada Allah SWT.
Langkah menuju khusyuk :
1.Mencari pengertian
(faham). Perkara ini perlu dimulakan dengan memahami makna bacaan (rukun qauli)
dan erti setiap perbuatan (rukun fi’li) di dalam solat. Apabila mengucapkan
takbiratulihram dan membaca surah al-Fatihah misalnya, makna setiap kalimatnya
perlu diketahui satu persatu.
2.Pemusatan fikiran
(fokus). Menghindarkan gangguan hal – hal lain sehingga fikiran, perbuatan dan
ucapannya seiring – yakni terfokus sepenuhnya kepada makna bacaan dan perbuatan
dalam solat. Mungkin telah memahami makna bacaan, tetapi oleh sebab tidak
fokus, seseorang yang membacanya hanya umpama orang mengigau di dalam tidur.
3.Membesarkan Tuhan
(rasa haibah). Apabila orang yang kenal Allah SWT mengucapkan kalimah,
“Allahuakhbar” misalnya, dia bukan sahaja tahu maknanya (Allah Maha Besar)
malah hatinya turut merasai betapa hebatnya kuasa Allah SWT yang telah mencipta
alam semesta, akhirat dan segala makhluk. Pada ketika itulah terpancarnya rasa
– rasa yang seni dan indah dalam fikiran dan jiwa yang tidak mungkin terjadi di
luar solat.
4.Kagum dan takut akan
keagungan Tuhan (rasa khauf). Rasa takut dan kagum kepada Allah SWT ini tidak
sama dengan rasa takut dan kagum kepada perkara – perkara yang lain. Kita takut
kepada ikan piranha kerana keganasannya, tetapi kita takut kepada Allah SWT
kerana kehebatan-Nya.
5.Mengharap kepada Tuhan
(rasa raja’). Ia adalah pengharapan seorang hamba untuk mendapat keampunan,
kasih sayang dan syurga Allah SWT. Jika rasa takut sahaja dibiarkan mendominasi
jiwa dikhuatiri akan timbul sangka buruk dan jahat sangka terhadap Allah SWT.
Padahal dalam realitinya, Allah SWT lebih suka mengampunkan dosa berbanding
mengyeksa hamba-Nya yang berdosa.
6.Rasa
malu dan hina diri (rasa haya’). Untuk merasa hina dan malu, carilah maksud
yang tersirat di sebalik perbuatan rukuk dan sujud. Dengan rukuk kita
menyamaratakan posisi mulut, perut dan dubur persis haiwan berkaki empat!
Sewaktu sujud, kita meletakkan kepala, dahi dan muka yang sentiasa berada di
atas (sentiasa dihormati) ke tempat yang paling bawah (tempat sujud). Manakala
dubur yang sentiasa disorokkan di bawah, ketika sujud telah dijongketkan ke
atas sebagai cara meleburkan kesombongan dan kebesaran diri!
Impak solat yang khusyuk :
1. Mengingatkan jati diri
sebagai hamba Allah SWT (rasa kehambaan).
2. Membina rasa bertuhan
(bergantung dan berharap) kepada Allah SWT.
3. Bertaubat atas dosa –
dosa.
4.Menyuburkan
hati dengan iman dan tauhid
Semoga kita sama – sama meraih solat yang
berkualiti. Solat yang khusyuk! Wallahu’alam~